~Love Islam~

~Free Palestine~

~Qiamulail Muslimat~

Friday, September 4, 2009

Assalamualaikum wbt..



Salam Ramadhan Kareem diucapkan kepada semua muslimin dan muslimat..

Moga Ramadhan kali ini menjanjikan 1001 kemanisan buat kita semua..



Terlebih dahulu suka untuk saya memulakan kalam ini dengan bersyukur kepada Allah di atas segala nikmat kurnianNYA, selawat dan salam buat Baginda Rasulullah saw, kaum keluarga dan para sahabat..InsyaAllah untuk entry kali ini saya akan buat sedikit laporan ringkas mengenai Program Qiamulail dan Solat Hajat Perdana yang telah diadakan pada 20 Ogos 2009 bersamaan dengan 30 Sya'aban 1430 hijrah.



Program Qiamulail yang diadakan pada pukul 4.00pagi dan berakhir selepas Solat Subuh berjemaah ini diadakan di ruangan solat Muslimat di bahagian atas Masjid KUIS. Program ini diwajibkan kepada semua mahasiswi peringkat ijazah dari semester 1, 2, 3 dan 4 dan turut dijemput kepada mahasiswi peringkat diploma dan pimpinan mahasiswi Nisa' MPM, MPQ dan Hawa ALAM.



Saya telah dilantik oleh Ustaz Safwan bin Ahmad merangkap Ketua Unit Hal Ehwal Islam, Jabatan Pembangunan Mahasiswa sebagai Pengarah Program bagi Program Qiamulail ini, dibantu oleh ahli jawatankuasa yang terdiri daripada naqibah-naqibah setiap kumpulan.



Pada mulanya, saya agak keberatan untuk menerima taklifan ini lantaran memikirkan kekangan masa dan pelbagai masalah lain yang sedia ada. Selepas berbincang dengan Ustaz Safwan, saya cekalkan hati dan nekad untuk membuat setakat yang termampu memandangkan masa pun tidak banyak.



Ustaz mengarahkan saya agar melantik jawatankuasa kecil dan lebih khusus bagi melancarkan Program Qiamulail ini. Saya telah merangka jawatankuasa kecil tersebut bersama sahabat saya iaitu Saudari Amalina Kamarulzaman, akan tetapi setelah difikirkan semula, adalah lebih baik tugasan ini diberikan kepada semua naqibah yang mana naqibah bertanggungjawab untuk memastikan kehadiran ahli usrah yang lain.



3 hari sebelum program bermula, Ustaz Safwan telah memberikan senarai nama naqibah beserta kumpulan masing-masing yang mana berpandukan nombor telefon yang ada saya perlu memaklumkan kepada setiap orang dari mereka tentang pertukaran tarikh bagi Program ini.



Perancangan saya dan naqibah-naqibah yang lain beserta persetujuan oleh semua ahli usrah muslimat peringkat ijazah sebelum ini, kami sepakat untuk membuat Qiamulail pada hari Khamis malam Jumaat bermaksud pada 4.00 pagi hari Jumaat bersamaan 21 Ogos 2009 akan tetapi selepas berbincang dengan Ustaz Safwan, tarikh terpaksa di tukar lantaran ditakuti pada hari Jumaat itu bermulanya 1 Ramadhan. Kata putus telah dicapai yang mana Qiamulail dibuat pada 20 Ogos 2009 bersamaan hari Rabu malam Khamis bermaksud 4.00 pagi hari Khamis.



Surat jemputan bagi Program Qiamulail ini telah saya rangka sebelum ini dan saya meminta Ustaz Safwan menyemak jika terdapat kesalahan ejaan dan sebagainya. Surat jemputan ini diberikan kepada Fellow Siswi Blok B, Blok C dan Blok D. Selain itu, pihak Nisa' MPM, MTPQ Siswi dan Hawa ALAM turut menerima jemputan ke Program Qiamulail ini.



Perbincangan saya dengan Ustaz Safwan sebelum ini agar melibatkan sekali pimpinan mahasiswi seperti MPM, MPQ dan ALAM. Saya telah bersemuka dengan Pegerusi Nisa' MPM iaitu Saudari Toyyibah yang mana kami telah merangka siapa yang akan memimpin Qiamulail pada tarikh tersebut. Hasil perbincangan kami sepakat memilih saudari Nur Fazihan Izyani untuk menjadi Imamah 1, dibantu oleh Saudari Masitoh Binti Azizan sebagai Imamah 2 dan zikir munajat dipimpin oleh Saudari Asma Hanin.



Rangkaan awal kami turut memilih saudari Nor Hafizah Hani untuk menyampikan tazkirah waktu sebelum subuh akan tetapi memandangkan tidak mahu mengambil masa yang panjang, kami batalkan tazkirah tersebut. Tempoh program Qiamulail ini bermula pada pukul 4.00 pagi dan berakhir pada pukul 6.15 pagi.



Ustaz Safwan telah mengarahkan untuk mengambil kehadiran sebanyak 2 kali iaitu pada pukul 4.00 pagi dan pada pukul 6.00 pagi iaitu selepas selesai Solat Subuh berjemaah. Kertas kehadiran yang berwarna ungu itu telah saya serahkan kepada naqibah setiap kumpulan dan sempat berpesan pada mereka supaya amanah, dan bagi sesiapa yang tidak hadir perlu sertakan sekali surat alasan.



Memo telah dinaikkan dan beberapa "sistem khidmat pesanan ringkas" @ sms telah saya terima daripada naqibah yang mana kesemuanya bersetuju dengan tarikh Qiamulail yang baru. Tibalah saat yang dinantikan. Pada hari kejadian saya tiba di masjid sekitar jam 4.05 pagi yang mana kelihatan beberapa orang mahasiswi telah hadir. Mereka menanti dengan sabar.



Malam sebelum itu saya telah mengkhabarkan Program Qiamulail ini kepada fellow setiap blok supaya mereka dapat membuat pengumuman di blok masing-masing. Sambutan pada hari Qiamulail ini berlangsung agak mengembirakan walaupun keadaan tidak dapat dikawal sebenarnya. Masing-masing sudah besar dan sepatutnya sedar dan tahu akan peranan dan tanggungjawab mereka apabila berada di Rumah Allah.



Tidak perlu saya ulas panjang keadaan itu. Ada orang kata biasalah tu. Tidak biasa pada saya sebenarnya. Bagaimana mungkin kita menyamakan tempat kita bertemu dan mengadap Allah swt dengan tempat lain yang kita boleh membuat bising dan sebagainya? Kalian tentu ada jawapannya. Mohon direnungkan dan difikirkan. Masalah yang tidak pernah selesai lantaran tugasan memastikan semua mahasiswi diam diserahkan bulat semata-mata pada saya akan tetapi di mana peranan setiap individu yang mengaku MUSLIM??? Tepuk dada tanya iman masing-masing.



Seperti biasa adalah molek sekiranya saya tidak menunding jari menuduh atau menyalahkan mana-mana pihak. Sebaliknya saya melihat dari sudut yang positif dan dengan rela hati saya mengaku bahawa berlaku sedikit kekalutan, kekacauan atau kekecohan pagi itu lantaran kesalahan saya yang tidak pandai merangka program dengan baik. Moga Allah mengampunkan saya.



"Wamakaru wamakarallahu wallahu khairul makirin"..manusia merancang, Allah jua merancang dan perancangan Allah adalah YANG MAHA BAIK. Imamah Qiamulail seperti yang dirancang tidak dapat hadir lantaran sakit dan wujud beberapa masalah lain. Begitu juga insan yang telah ditaklifkan untuk memimpin zikir munajat juga tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tertentu. Amanah menjadi imamah telah saya berikan kepada Saudari Husni Nabilah. Moga Allah membalas jasamu.



Qiamulail yang dipimpin Saudari Husni Nabilah dimulai dengan Solat Sunat Taubat, diikuti Solat Tahajjud, Solat Hajat dan Solat Witir. Suasana tenang ketika mahasiswi khusyuk melakukan solat menyelubungi ruangan atas masjid akan tetapi setelah selesai solat berlaku sedikit kekurangan lantaran wujud segelintir mahasiswi yang masih menjadikan masjid tempat berkongsi rasa dan bicara ibarat seperti berada di pasar.



Bagi pelajar yang ma'zurah ditempatkan di ruangan bawah berdekatan tangga. Saya mengambil taklifan untuk mengawal mereka dengan sempat memberikan beberapa peringatan dan taujihad sebelum bersama-sama mereka semua untuk memimpin bacaan Ma'thurat.



Selesai solat Subuh berjemaah Ustaz Safwan mengarahkan agar mengumpulkan semua muslimat di ruangan bahagian bawah Masjid KUIS. Ustaz Safwan mahu menyampaikan beberapa amanat sebelum mengakhiri Program Qiamulail pagi itu.



Tajdid yang dilakukan di bawah pimpinan Ustaz Safwan kali ini dengan mengadakan ceramah, liqa, Qiamulail, tugasan akhir adalah tidak lain dan tidak bukan untuk membawa mahasiswa KUIS ke satu arah baru yang mana perubahan sedikit demi sedikit dilakukan seterusnya mengaplikasikan segala nilai-nilai murni yang diajar dalam Islam untuk dipraktikkan sehingga ke akhir hayat. Hasrat Ustaz Safwan biarlah program kerohanian ini diadakan selalu agar kelak ia akan menjadi kerinduan kepada mahasiswa KUIS dan fenomena Qiamulail ini tidak dipandang enteng hanya sahaja kita melakukan kerana ingin menduduki peperiksaan akan tetapi ianya akan menjadi amalan seharian hidup kita.



Ustaz sempat berpesan kepada para naqibah agar membuat laporan dan menyiapkan tugasan akhir disamping menyatakan cadangan dan penambahbaikan bagi program Usrah ijazah ini. Program Qiamulail berakhir dengan baik. Moga-moga usaha yang kecil ini diterima Allah dan semoga kita sama-sama hidup di bawah lembayung rahmatNYA.



p/s : Segala yang baik datang dari Allah segala yang buruk datang dari kelemahan diri saya hakikatnya kedua-duanya datang dari Allah juga. Gambar-gambar sepanjang program Qiamulail ini akan saya post dalam entry yang seterusnya. InsyaAllah.

~Wallahua'lam~

Read more...

  © Blogger template Leaving by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP